Assalamualaikum w.b.t
Artikel yang perlu dibaca dan diambil dari sebuah blog:
 |
| Dinasti Ming |
Perkembangan Islam di China disorok, penipuan Joseph Needham diiktiraf
"SEPARUH daripada penulisan sejarah adalah dengan menyembunyikan
kebenaran." Pandangan Pemenang Anugerah Nebula 2005 (Skrip Terbaik -
Serenity), Joss Whedon pasti tercerna daripada kekaburan yang dibawa
pensejarahan Barat mengenai penyimpangan dalam teks, karya atau fakta
sejarah.
Apatah lagi penyimpangan, penyelewengan dan penyongsangan fakta wujud
secara berleluasa dalam dokumen, teks serta karya sejarah yang ditulis
orientalis mahupun pengarang Barat.
Tujuan orientalis dan pengarang Barat hanyalah satu, iaitu menghilang
dan menggelapkan pengaruh Islam khususnya terhadap kebangkitan dan
kekuasaan imperialisme mereka, sekali gus mengabsahkan hegemoni mereka.
Lebih menyedihkan pandangan yang kononnya bersifat sejarawi itu, diekori
oleh sejarawan dan pengarang dari Asia atau dunia Islam sehingga
menerimanya sebagai fakta sejarah yang satu-satunya sah lagi benar.
Hasilnya, sejarah Islam dan tamadun lain di Timur bukan saja ditulis dan
dibukukan oleh orientalis serta pengarang Barat, bahkan dibentuk dan
dimuatkan berdasarkan kerangka pandangan alam mereka.
Tidak hairanlah banyak sumbangan Islam dan Timur terhadap kebudayaan dan
peradaban Barat menjadi wap yang hilang di langit sejarah dunia
sehingga yang tinggal adalah sejarah yang dibentuk berdasarkan bekas
yang ditinggalkan oleh orientalis dan pengarang mereka.
Gejala minda tertawan ini dikemukakan Pensyarah Jabatan Matematik,
Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail ketika
mengupas Diskusi Intelek: Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya
di Panggung Percubaan UPM, Serdang, baru-baru ini.
Dr Mat Rofa berkata, tiga dinasti di China mempunyai hubungan erat
dengan Islam, iaitu Dinasti Song, Yuan dan Ming, tetapi sejarah dinasti
itu kurang dicatat dalam teks sejarah China.
“Malah, ramai yang tidak tahu pengaruh Islam dalam pemerintahan dinasti
di China sudah sampai kepada tahap menjadi agama yang dianuti
maharajanya, apabila Zhu Yuanzhang menjadi Maharaja Islam yang pertama.
“Bagaimanapun, apabila Dinasti Ming kalah di tangan Dinasti Manchu,
kerajaan mengharamkan rakyat daripada belajar sejarah dinasti Islam
itu,” katanya pada diskusi anjuran Kelab Bimbingan Mahasiswa UPM itu.
Tidak hairanlah, Dr Mat Rofa berkata, sumbangan besar dunia Islam tidak
diketahui oleh umum seperti penciptaan peluru yang dikatakan sebagai
sumbangan tamadun China sebenarnya dicipta oleh saintis Islam yang
dibawa dari dunia Islam.
“Malah pelayaran Laksamana Cheng Ho atau Zheng He sendiri banyak
diselewengkan sehingga ada sejarawan yang menohmah pelayarannya adalah
bertujuan untuk membunuh musuh politik maharaja di Asia, meskipun beliau
mahu menunaikan haji di Makkah.
“Ia jauh sekali berlawanan dengan fakta Zheng He membawa armada kapal
yang sangat besar dalam pelayarannya tetapi tidak membawa balik harta
rampasan,” katanya.
Ini kerana, Dr Mat Rofa berkata, China datang ke alam Melayu untuk
melindungi kerajaan kecil di Gugusan Kepulauan Melayu seperti amaran
Zheng He kepada Raja Siam yang mengganggu Kesultanan Melayu Melaka
dengan mengingatkan kesultanan itu umpama adik kandung kepada China.
“Bagaimanapun, sejarah sumbangan dan pengaruh Islam di China digelapkan
sehingga Islam tidak dianggap memainkan peranan penting dalam peradaban
yang sangat besar itu.
“Penulis Barat, Joseph Needham, yang diupah oleh orientalis bukan saja
mengubah sejarah China, bahkan banyak menyelewengkan fakta,” katanya.
Needham yang turut dikenali sebagai Li Yuese menghasilkan Science and
Civilisation in China yang asalnya mengandungi tujuh jilid pada 1948,
berkembang kepada 24 jilid dengan 15 daripadanya ditulisnya sendiri,
selain turut menghasilkan Science in Traditional China.
Kerangka yang ditinggalkan Needham itu masih meninggalkan pengaruh yang
kuat kepada pensejarahan China, apatah lagi apabila namanya diabadikan
sebagai Institut Kajian Needham (NRI), Cambridge, England, yang
mengepalai penyelidikan dalam sejarah sains, teknologi dan perubatan di
Asia Timur.
Lebih teruk, Dr Mat Rofa berkata, sejarawan China sendiri banyak
bergantung kepada Needham dalam penulisan sejarah bangsa dan tamadun
mereka.
“Sebenarnya, Zheng He meninggalkan diari hariannya yang dianggap paling
asli, sekali gus catatan yang ditulis oleh penulisnya, Ma Huan itu
banyak bercanggah dengan tulisan Needham.
“Sepatutnya sebarang penulisan mengenai sejarah di China khususnya Islam
perlu berpandukan kepada catatan harian itu berbanding karya yang lebih
mutakhir,” katanya.
Beliau mengingatkan banyak pembohongan dalam sejarah diterima sebagai
fakta yang sah dan benar seperti Dr David Livingstone yang menjadi orang
pertama menemui Sungai Nil atau Singapura yang dibuka oleh Stamford
Raffles.
“Lebih melucukan apabila fakta penemuan Dr Livingstone pernah digunakan
dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah di Mesir kerana
kalau mahu menipu pun, janganlah sampai keterlaluan.
“Fakta penemuan Dr Livingstone itu umpamanya kita mempercayai bayi
menyambut kelahiran bidannya kerana Sungai Nil sudah lama wujud dan
Afrika sendiri sudah lama mempunyai penghuni,” katanya. (seperti Pulau
Pinang dan Singapura dibuka oleh Light dan Raffles seolah-olah ia tidak
pernah ada sebelum ini)
Penyimpangan, penyelewengan dan penyongsangan sejarah oleh orientalis
dan pengarang Barat itu sudah lama dibiarkan bermaharajalela dalam
membentuk kerangka kronologi dan pensejarahan dunia Timur khususnya
Islam dan alam Melayu.
Sudah sampai masanya sejarawan dan pengarang kita membongkar teks dan
sumber sejarah sendiri yang tersisih kesan daripada metodologi
pensejarahan dan klasifikasi teks yang dirangka oleh Barat untuk
menafikan hakikat sebenar sumbangan dan pengaruh Islam ke atas peradaban
dunia.
Sebarang kitab, teks, hikayat, dokumen, catatan dan salasilah yang
ditulis ulama dan pendakwah, sejarawan dan pengarang dunia Timur serta
Islam perlu dikumpul, disusun dan dicantumkan dalam kerangka ilmu yang
sebenar dengan menggunakan kekuatan intelektual untuk mentafsir dan
menulis sejarah yang tepat.
Sumber:
http://www.rahmanbashri.com/2012/04/barat-menipu-sejarah-kegemilangan-islam.html#ixzz2RHJPcmMn
p/s: Itu baru sejarah yang berkaitan dengan negara China.. Yang telah dihilangkan pada zaman renaissance, masih banyak lagi setelah kitab2 ilmu zaman kegemilangan Islam dibuang sehingga sungai Tigris menjadi hitam oleh dakwatnya. dan sebahagiannya pula digunakan oleh Barat dan mengiktiraf bahawa ilmu tersebut mereka yang punya..